Ke Arah Armada Elektrik Sepenuhnya
Penambahan van elektrik ini sejajar dengan objektif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Pos Malaysia dan selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai masa depan rendah karbon. Dengan penambahan ini juga, Pos Malaysia kini telah memiliki sejumlah 1,252 motosikal elektrik dan 264 van elektrik, sekaligus membentuk armada EV yang terbesar dalam sektor logistik tempatan.
Buat pertama kalinya, beberapa unit van elektrik ini juga akan digunakan dalam operasi Pos Malaysia di Sabah dan Sarawak.
Komitmen Pos Malaysia Untuk Masa Depan Lestari
Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer, menegaskan, “Kami bukan sahaja menghantar surat dan bungkusan, malah kami membawa harapan untuk masa depan yang lebih baik. Penambahan 136 van elektrik ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Pos Malaysia ke arah masa depan yang mampan.”
Beliau menambah, kerjasama dengan Maxus dan Yinson GreenTech adalah langkah tepat ke arah masa depan sektor logistik yang lebih hijau dan inovatif, memberikan manfaat kepada pelanggan, pekerja dan alam sekitar.
Sistem Sokongan Komprehensif
Maxus eDeliver 3 yang disewa oleh Pos Malaysia melalui Yinson GreenTech akan menerima sokongan selepas jualan dan penyelenggaraan menyeluruh. Yinson GreenTech turut akan mengintegrasikan teknologi pintar seperti telematik, pengoptimuman laluan dan sistem pemantau armada bagi memastikan pengurusan armada yang cekap, selamat dan efisien tenaga.
Penambahan kenderaan elektrik ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Pos Malaysia untuk mencapai armada kenderaan 100% elektrik pada tahun 2030 serta aspirasi sifar karbon penuh menjelang tahun 2050.